Monday, February 21, 2011

KWSP Kredit RM21.61 Bilion Dividen (5.80%) Ke Dalam Akaun Ahli Untuk 2010

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dengan kelulusan Menteri Kewangan hari ini mengisytiharkan bayaran dividen tertinggi pernah dicapai sebanyak RM21.61 bilion kepada ahlinya, meningkat 11.55 peratus berbanding bayaran dividen 2009 sebanyak RM19.37 bilion. Amaun ini merupakan 5.80 peratus kadar dividen bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2010.

Kadar dividen ini 15 mata asas melebihi kadar 5.65 peratus yang dibayar pada tahun 2009, menggambarkan tahun yang memberangsangkan di mana pendapatan pelaburan kasar mencecah rekod tertinggi dalam sejarah sebanyak RM24.06 bilion. Ini merupakan peningkatan 39.76 peratus berbanding RM17.22 bilion pendapatan pelaburan kasar yang dicatatkan pada 2009.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini, Pengerusi KWSP, Tan Sri Samsudin Osman berkata, “Pendapatan pelaburan memberangsangkan yang dicapai pada 2010 ini dijana terutamanya daripada prestasi pelaburan ekuiti. Suasana kewangan dan ekonomi yang bertambah baik menyediakan pasaran dengan kecairan yang mencukupi lalu membenarkan aktiviti pengambilan untung sepanjang tahun.”

“Bayaran dividen ini diperoleh setelah ditolak elaun rugi terjejas bersih ke atas aset kewangan, perbelanjaan pelaburan, perbelanjaan operasi dan caj berkanun serta bayaran dividen pengeluaran.”

Disokong oleh tahun yang kukuh untuk pasaran ekuiti, Ekuiti merupakan penyumbang terbesar kepada pendapatan pelaburan kasar KWSP pada 2010, mewakili 45.45 peratus jumlah pendapatan pelaburan kasar KWSP. Untuk tahun tersebut, sejumlah RM10.94 bilion dijana daripada ekuiti, peningkatan ketara 125.69 peratus daripada RM4.85 bilion yang diperoleh pada 2009. (Rujuk Lampiran, Jadual 1).

Pinjaman dan Bon merupakan penyumbang kedua terbesar pendapatan pelaburan pada 2010, mencatatkan RM7.02 bilion pendapatan pelaburan kasar berbanding RM6.63 bilion dicatatkan pada tahun sebelumnya, manakala Sekuriti Kerajaan Malaysia menyumbang pendapatan ketiga terbesar sebanyak RM5.30 bilion berbanding RM5.22 bilion pada 2009.

Ini diikuti oleh Instrumen Pasaran Wang dengan pendapatan pelaburan kasar sebanyak RM703.52 juta, meningkat dengan ketara daripada RM435.57 juta pada tahun sebelumnya. Manakala sejumlah RM103.18 juta dijana daripada Hartanah dan Pendapatan-pendapatan lain.

Dalam tahun yang diulas, jumlah aset pelaburan KWSP terus mencatatkan pertumbuhan yang baik melepasi paras RM400 bilion kepada RM440.52 bilion setakat 31 Disember 2010.

Strategi pelaburan KWSP berpandukan model Alokasi Aset Strategik yang dirangka bagi menepati profil risiko dan pulangan KWSP serta untuk mengekalkan pulangan konsisten dalam jangka masa panjang. Pada 2010 kira-kira dua pertiga jumlah aset pelaburan KWSP kekal dalam instrumen berpendapatan tetap berisiko rendah yang memberikan pendapatan yang stabil.

“Sebagai dana persaraan, objektif utama KWSP adalah untuk melindungi modal (simpanan ahli) dan dalam masa yang sama memberikan nilai tambah kepada simpanan itu. Bagi mencapai objektif ini, KWSP akan terus melaksanakan pendekatan pelaburan berhemat yang didokong oleh penyelidikan yang menyeluruh dan teliti dan mengikut amalan terbaik pelaburan bagi memastikan simpanan ahli dilindungi untuk tempoh jangka masa panjang,” kata Tan Sri Samsudin.

Untuk bayaran dividen 2010, KWSP memerlukan RM3.73 bilion bagi membayar setiap satu peratus kadar dividen berikutan peningkatan dalam bilangan ahli. Jumlah ini meningkat 8.67 peratus berbanding RM3.43 bilion yang dibayar untuk satu peratus kadar dividen pada 2009. (Rujuk Lampiran, Carta 1)

Ahli boleh mendapatkan Penyata Kira-Kira KWSP mereka untuk menyemak pengkreditan dividen 2010 melalui Kios KWSP, kaunter atau i-Akaun mulai Isnin, 21 Februari 2011.

“Walaupun KWSP optimis bahawa momentum yang positif ini akan berterusan pada 2011, prospek untuk tahun ini akan terus bergantung kepada kekukuhan ekonomi domestik dan antarabangsa. Sebagai tabung persaraan, KWSP akan mengekalkan matlamat untuk melabur mengikut objektif strategiknya dan pada masa yang sama mengambil inisiatif pengurusan risiko yang ketat bagi menguruskan secara berkesan sebarang ketidak tentuan dan ancaman yang dihadapi,” kata Tan Sri Samsudin.

Mengenai Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)
Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) adalah dana pencen terulung di Malaysia yang menyediakan jaminan asas kewangan bagi persaraan. KWSP sentiasa komited dalam menjamin dan meningkatkan simpanan ahlinya melalui amalan terbaik pelaburan dan tadbir urus korporat. Langkah berhemah sentiasa menjadi panduan dalam setiap keputusan pelaburannya.

Sebagai sebuah organisasi yang berfokuskan pelanggan, KWSP memberikan perkhidmatan yang cekap dan berkesan untuk keselesaan ahli dan majikan berdaftar.

KWSP akan terus memainkan peranannya sebagai pemangkin kepada pembangunan ekonomi negara, selaras dengan kedudukannya sebagai institusi simpanan terkemuka di Malaysia.

Tarikh: 20 Februari 2011

No comments:

Post a Comment

GBP to MYR Chart


ForexProsForex Charts Powered by Forexpros.com - The Forex Trading Portal.

Come and Interpret this!

Come and Interpret this!
Hints: QR Code

Sign by Danasoft - Get Your Free Sign